Kerja Kursus KDC P2 November 2002 PM Major
KEUTUHAN WACANA
Mohd. Isa bin Abd. Razak
Satu aspek penting dalam analisis wacana ialah keutuhan wacana. Dengan menganalisis keutuhan wacana kita dapat menentukan sama ada sesuatu teks itu sebuah wacana atau hanya sekumpulan ayat yang tidak teratur. Melalui analisis keutuhan wacana juga kita dapat pula memahami hubungan bahasa dengan alam di luar bahasa secara lebih mendalam.
Kita boleh menilai keutuhan sesebuah wacana dengan melihat penanda wacana, mengenal pasti ayat-ayat yang berfungsi dan mengesan dan menginterpretasi organisasi penulisan. Ketiga-tiga cara ini mudah difahami dan boleh diaplikasi di sekolah rendah dan di sekolah menengah.
1. PENANDA WACANA
Fungsi Penanda Wacana
1. Menghubungkan ayat dengan ayat
2. Menghubungkan perenggan dengan perenggan
3. Membantu pendengar/pembaca memahami teks
Contoh Penanda Wacana
1. Penanda Kronologi
Kata kunci: “Bila” dan yang seumpamanya.
1. kini
2. lantas
3. mula-mula
4. lepas itu
5. sebelum
6. kemudian
7. semenjak itu
8. pada suatu waktu
9. pada hari esoknya
10. pada zaman dahulu
11. dua tahun kemudian
12. beberapa tahun kemudian
13. dan yang seumpamanya.
2. Penanda Organisasi
Fungsi: mempertautkan sesuatu bahagian wacana dengan bahagian yang lain
1. pertama
2. tegasnya
3. contohnya
4. akhir sekali
5. dalam hal ini
6. sebagai kesimpulan
7. dalam hubungan ini
8. untuk merumuskan
9. dengan perkataan lain
10. dapat dinyatakan bahawa
11. untuk menjelaskan lagi
12. akan dinyatakan pada tempat yang lain
13. dalam bahagian ini kita akan membincangkan
14. dan yang seumpamanya.
3. Penanda Idea
Fungsi: menghubungkan antara fakta dengan fakta dan idea dengan idea yang
(a) Mengembangkan Idea
malah
satu lagi
selain itu
seterusnya
begitu juga
di samping itu
lebih-lebih lagi
tambahan pula
dan yang seumpamanya
(b) Pertentangan Idea
tetapi
sama ada
sebenarnya
sebaliknya
walaupun
walau bagaimanapun
pada masa yang sama
dan yang seumpamanya.
(c) Hubungan Idea
jadi
maka
kecuali
oleh itu
oleh sebab
oleh hal yang demikian
untuk tujuan itu
berikutan dengan itu
dengan demikian
sebagai akibat daripada
dengan syarat
justeru itu
dan yang seumpamanya.
2. MENGENAL PASTI AYAT-AYAT YANG BERFUNGSI
Walaupun seseorang pembaca itu tidak semestinya memahami setiap ayat dalam sesuatu teks yang dibacanya, kefahamannya terhadap setiap ayat yang dibacanya akan membantunya memahami keseluruhan teks tersebut. Dalam penulisan yang baik, setiap ayat mempunyai fungsi yang tertentu, antaranya ialah
(a) memberi definisi … Contoh: Kamus Linguistik mendefinisikan ….
(b) membuat kesimpulan … Contoh: Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa ….
(c) memberi contoh … Contoh: Sebagai contoh, di Daerah Nabawan masih terdapat beberapa keluarga yang ….
(d) memberi huraian … Contoh: Situasi ini wujud disebabkan pihak berwibawa memandang remeh penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi.
(e) memberi ulasan … Contoh: Pada pendapat saya, kempen makan nasi hanya sekali sehari, iaitu pada waktu siang, akan ….
(f) memperkuat hujah … Contoh: Hal ini lebih jelas lagi apabila kita meneliti data tentang kaitan kesihatan dengan minum arak di …. seperti yang diberikan dalam Jadual 1.
Sekiranya penulis menggunakan penanda wacana yang tertentu seperti “dapat didefinisikan bahawa…”, “kesimpulannya ialah…”, “contohnya…” dan yang seumpamanya, maka pembaca agak mudah mengesan fungsi sesuatu ayat itu. Sebaliknya, jika penanda wacana tidak digunakannya, pembaca yang kurang cekap mungkin menghadapi masalah untuk mengesan idea yang hendak disampaikan oleh penulis.
3. MENGESAN DAN MENGINTERPRETASI ORGANISASI PENULISAN
Organisasi sesebuah penulisan melibatkan hubungan antara satu ayat dengan ayat, antara perenggan dengan perenggan, antara idea dengan idea, antara tajuk dengan bab, dan antara bab dengan bab. Kita perlu mengetahui tajuk, tujuan dan kumpulan sasar sesuatu penulisan untuk membolehkan kita mengesan dan menginterpretasi organisasi sesebuah penulisan itu. Organisasi sesebuah penulisan itu dapat ditinjau pada tiga peringkat:
(a) Ayat … Sesuatu ayat itu sepatutnya mendukung satu idea.
(b) Perenggan … Idea utama dan idea-idea penyokongnya digalurkan untuk membentuk satu satuan yang bertautan atau berfokus kepada satu fakta atau buah fikiran sahaja. Pembaca sepatutnya dapat mengenal pati pernyataan tema atau isi utama, isi penyokong ataupun isi sampingan dan keterangan-keterangan lain yang didukung oleh setiap ayat yang membentuk sesuatu perenggan itu.
(c) Seluruh Teks … Teks meliputi organisasi yang terdiri daripada unit-unit yang berupa perenggan, bahagian, tajuk dan bab. Dengan membaca seluruh teks, seseorang dapat mengenal pasti struktur teks sama ada berdasarkan kronologi, pengelasan mengikut hierarki, atau pengelasan mengikut ciri-ciri tertentu.
LATIHAN
(Kumpulan 3-5 orang)
Jelaskan pandangan kumpulan anda tentang keutuhan wacana bahan yang diedarkan.
Jawapan anda hendaklah berupa sebuah wacana yang utuh yang terdiri daripada tiga perenggan atau lebih. Jawapan itu juga hendaklah bebas daripada kesilapan bahasa. Panjang jawapan hendaklah dalam lingkungan 200 patah perkataan sahaja.
Maklumat yang terdapat dalam edaran ini mesti diaplikasikan dalam jawapan anda. Maklumat-maklumat lain yang telah disampaikan dalam kuliah wacana pada bulan Mei dan September boleh juga dimanfaatkan.
MIR
11 November 2002
Wednesday, December 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comment:
hiii...
bleh x bagi bnyk2 skit maklumat psal bahasa melayu..
hehehehehheee...
Post a Comment